Thursday, March 17, 2011

Dialek

Masyarakat Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum yang memiliki bahasa dan diialeknya sendiri. Walaupun kita bercakap dalam bahasa Melayu mengikut piawai yang telah ditetapkan tetapi pengaruh dialek negeri tetap kelihatan apabila seseorang itu bercakap. Dalam pembentangan kumpulan pagi tadi, saya dapat kenalpasti negeri asal beberapa pembentang. Pelajar dari negeri Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu dan Sabah sangat sukar untuk bercakap dalam bahasa baku sepenuhnya. Walaupun mereka berusaha untuk membakukan bahasanya, namun pengaruh dialek negeri itu sukar disembunyikan. Dialek negeri ini memberi pengaruh kepada individu sama ada dalam pembentangan mahupun dalam urusan-urusan harian. Perkara ini juga telah berlaku kepada saya semasa menjalankan tugasan pengajaran makro di dalam bilik kuliah dan di sekolah. Saya telah dikritik oleh penilai kerana adanya dialek Sabah yang terselit dalam ujaran saya semasa mengajar mata pelajaran bahasa Melayu.

Ulasan: Bagi saya, sebagai pelajar yang berasal dari negeri Sabah, masalah dialek merupakan cabaran yang sangat sukar apatah lagi saya mengambil kursus pendidikan Bahasa Melayu. Dalam konteks ini, saya perlu menjaga bahasa dan ujaran semasa bercakap. Kesukaran untuk bercakap dalam bahasa baku ini tidak sepatutnya berlaku kerana saya merupakan bakal guru yang mengajar dalam mata pelajaran bahasa Melayu. Walaupun menghadapi kesukaran, saya perlu memperbaiki keupayaan berbahasa baku supaya boleh mengajar apabila berada di sekolah nanti. Peribadi seseorang sangat rapat dengan bahasa seseorang itu sehingga bahasa kebiasaan yang digunakannya tetap memberi pengaruh yang kuat walaupun kita bertutur dalam bahasa lain.

No comments:

Post a Comment