Thursday, March 17, 2011

Baharu atau baru?

Sejak belakangan ini, banyak iklan di televisyen Malaysia menggunakan istilah ‘baharu’ dan dalam masa sama ada yang masih menggunakan ’baru‘. Semua ini disebabkan ada sesetengah pihak berpendapat bahawa istilah ‘baru’ ialah singkatan.

Jadi, jika ‘baru’ ialah singkatan kenapa istilah ‘saya’ tidak ditukar kepada ‘sahaya’? Hal ini kerana ‘saya’ sebenarnya berasal daripada ‘sahaya’. Balik kepada istilah ‘baru’, sebenarnya ia tidak ditunjukkan dalam Kamus Dewan sebagai satu kependekan(singkatan). Satu lagi sebab ialah kemungkinan Munsyi DBP berhasrat untuk membezakan ‘baru’ antara Adjektif(kata adjektif) dengan Kata Bantu Aspek(Masa). Ini tak harus menjadi sebab untuk menafikan istilah ‘baru’ dan menukarnya kepada ‘baharu’.

Ulasan: Istilah ‘baru’ telah lama digunakan secara baku di Malaysia, dan Indonesia bahkan sebelum kemerdekaan kedua-dua negara ini terutamanya dalam zaman kesusasteraan dan penulisan Riau-Johor lagi. Seharusnya penggunaan ‘baru’ tidak dibezakan atau dijadikan panjang berjela-jela kerana ia telah diterima sebagai ‘standard’ dalam Kamus Dewan sendiri.

Jika semua istilah dalam Bahasa Melayu dijadikan panjang berjela-jela ini hanya akan menyukarkan proses mengingat dan memberikan tanggapan kepada penutur asing bahawa Bahasa Melayu ialah bahasa yang panjang berjela-jela macam mi kari. Oleh itu, diharap Bahasa Melayu kekal sebagai bahasa yang mudah digunakan dalam menimba dan mengajar pelbagai bidang ilmu. Untuk kekal sebagai bahasa ilmu, semua istilah Bahasa Melayu perlu mudah diingati kerana yang panjang berjela-jela biasanya sukar diingati.

No comments:

Post a Comment