Saturday, March 19, 2011

Bahasa Baku dan Masyarakat

Secara konsepnya, bahasa baku merupakan bahasa yang telah diterima umum sebagai bahasa perhubungan yang boleh menyatukan masyarakat. Namun, persoalannya di sini ialah sejauh manakah penggunaan bahasa baku dalam masyarakat kita. Bahasa baku hanya digunakan di sekolah dan pusat-pusat pengajian tinggi. Namun, bukan secara keseluruhannya, iaitu pelajar sekolah dan universiti hanya menggunakan bahasa baku apabila berada dalam bilik darjah ataupun dalam bilik kuliah. Kelmarin saya duduk dalam bilik kuliah mendengar pembentangan rakan seperjuangan, dan saya perhatikan penggunaan bahasa baku itu masih kurang memuaskan.

Apabila pembentangan selasai, pembentang duduk dan bersembang dengan rakan menggunakan bahasa melayu dialek negeri masing-masing. Jadi saya boleh simpulkan bahawa bahasa Melayu baku hanya digunakan semasa pembentangan, ceramah, dan sewaktu dengannya. Perbualan dalam bilik darjah lansung tidak menggunakan bahasa Melayu baku apatah lagi apabila berada di luar pusat pengajian. Perkara ini membawa minda kita untuk berfikir tentang fungsi bahasa baku dalam masyarakat. Persoalannya adakah langkah untuk memasyarakatkan bahasa Melayu baku di Malaysia akan berjaya?.

Ulasan: Pada pandangan saya, usaha untuk membentuk masyarakat dengan bahasa baku sebagai bahasa perhubungan masyarakat merupakan suatu perkara yang sangat sukar. Hal ini demikian kerana setiap golongan masyarakat tidak mahu bahasanya dipinggirkan atau terhapus dek bahasa baku. Mereka hanya menerima bahasa baku untuk kegunaan rasmi sahaja. 

Friday, March 18, 2011

Penggunaan Huruf Besar dan Huruf Kecil

Saya dapat ayat ini daripada 'facebook' yang telah dipos oleh seorang rakan. Saya tidak dedahkan nama orang menulis ayat ini kerana faktor maruah penulis itu sendiri. Namun, saya bukannya menyalahkan cara penulisan ini cuma ingin membuka minda kawan-kawan semua bahawa dalam masyarakat kita sekarang, bahasa Melayu mempunyai pelbagai cabaran sama ada dalam aspek lisan, bunyi mahupun tulisan.

Mohd **^^^^^**
TeRuS BeRuSaHa WaLaU BaDai MeLaNdA TaK KiRa MaSa.............
2 hours ago ·  · 
    • Mo********^^  teruskan usaha fazril < chaiyok2
      2 hours ago · 
    • Yoh*****^^^ usaha tangga kejayaan
      40 minutes ago · 

‘Bahasa Rojak’

Ly***^^**
sgt jeronok main badminton coz dpt senaman n dpt hilangkan stress tp keesokkan harinya badan sgt sakit sbb lama sudah x main...wahahahahahaha :p
2 hours ago ·  · 
Ulasan: Ayat di atas saya ambil daripada satu rakan ‘facebook’ semasa melayari internet pagi tadi. Ayat ini bukan sahaja penuh dengan singkatan malah lebih menyedihkan bahasa Melayu bercampur dengan perkataan-perkataan bahasa inggeris. Bukan itu sahaja, banyak kesalahan ejaan sama ada si sengajakan atau tidak tetapi jelas sekali penggunaan bahasa Baku masih terasing lagi dari hati  masyarakat. Mungkin singkatan dalam ayat tersebut boleh diterima, tetapi pengunaan perkataan bahasa Inggeris dan ejaan perkataan tertentu perlu dielakkan, contoh di atas perkataan ‘seronok’ jadi ‘jeronok. 

Thursday, March 17, 2011

‘Maggi, Colgate, Adidas’

Barangan yang terdapat di pasaran adalah pelbagai dan mempunyai nama serta jenamanya tersendiri. Nama pada sesuatu barangan biasanya mengikut nama syarikat pengeluar. Namun, dalam masyarakat kita, panggilan nama untuk satu-satu barangan menjadi suatu kebiasaan apabila terdapat jenis barangan yang sama. Contohnya, produk makanan mi segera. Di pasaran, terdapat pelbagai jenis mi segera seperti maggi, mi sedap, indomi dan seumpamanya tetapi masyarakat kita sudah biasa menamakan makanan segera ni dengan panggilan “MAGGI” kepada semua jenis mi segera. Baru-baru ini saya bertelefon dengan rakan saya yang melanjutkan pelajarannya di Universiti Kebangsaan Malaysia. Serba sedikit mengenai perbualan kami;

...
saya: ko di sana macam mana?
Rakan: baik-baik saja, tapi duit poket makin kering la.
Saya: iya, sama la,saya pun tak ada duit dah ni sekarang. Tunggu duit masuk dalam bank ja..hehe
Rakan: ehehe..iya la kn..makan maggi sajalah, penting ada isi perut.
...

            Begitu juga halnya dengan ubat gigi, iaitu masyarakat sudah biasa menyebut ubat gigi ‘COLGATE’ walaupun ingin membeli ubat gigi jenis lain seperti sufi, darwin dan sebagainya. Sama juga dengan kasut bola tetapi saya perhati masyarakat sudah mula sedar dengan istilah “ADIDAS” untuk kasut bola. Sekarang masyarakat mula membetulkan panggilan kasut bola mengikut jenama kasut tersebut kerana dulunya mereka menamakan semua kasut bola dengan nama adidas.

Ulasan: walaupun perkara ini hanya satu perkara remeh tetapi sangat penting kerana membantu kita untuk membezakan sesuatu barangan. Jika kita membeli barangan tersebut, kita mudah mengenalinya walaupun meminta rakan untuk membelikannya.

Humor

Individu yang humor sangat mudah didekati oleh orang ramai dan keperibadian yang humor sangat disukai oleh pelajar di sekolah. Namun kadang-kadang individu yang humor ini mudah untuk menyinggung atau menyakiti hati orang lain. Mereka tidak menilai keadaan sama ada seseuai untuk bergurau atau tidak. Saya juga ada kawan yang berperwatakan humor ini. Kali pertama kenal dengannya memang hati selalu gembira dan bibir tidak pernah kering kerana aksi lawaknya yang mencuit hati kita. Namun, apabila sudah kenal rapat dan tinggal satu rumah saya boleh bosan dengan caranya kerana kadang-kadang menyakitkan hati. Kalau dia buat dengan orang lain, kita rasa lawak sangat tetapi kalau dia kenakan kita rasa naik darah pun ada. Kalau bergurau sekali sekala saya tidak kisah, tetapi jika dilakukan berulang kali kita akan bosan dan naik darah apatah lagi bergurau semasa kita sibuk dan tekanan dengan pelbagai tugasan.

Ulasan: watak humor memang saya tidak nafikan kebaikannya tetapi perlu melihat sekitar dan menilai sama ada sesuai bergurau atau pun tidak. Biarlah isu-isu yang dikeluarkan tidak menyinggung atau memalukan orang. Walaupun untuk tujuan bergurau biarlah faham dengan perasaan orang lain agar tidak menjatuhkan maruah orang lain dengan mendedahkan rahsia atau perkara-perkara yang boleh memalukan kawan.

“Okey, Next... “

Perkataan ‘okey’, next’,’join’, ‘metting’, merupakan perkataan bahasa Inggeris yang selalu digunakan oleh penutur bahasa Melayu semasa berkomunikasi secara informal mahupun dalam situasi formal. Semasa pembentangan, kita selalu dengar pembentang akan cakap ‘ok..next’ sebagai arahan kepada rakan setugasnya supaya menekan butang untuk paparan seterusnya. Jika dinilai dari segi penggunaan bahasa Melayu baku, perkataan ini mencemar bahasa jika diselitkan dalam ayat bahasa Melayu.

Ulasan: Penggunaan perkataan tersebut sememangnya saya akui salah dari segi hukum bahasa Melayu baku. Pengaruh bahasa inggeris ini perlu diberi perhatian bukan sahaja dalam situasi formal malah dalam situasi bukan formal. Jika tidak demikian, perkembangan bahasa Melayu baku akan terhalang dengan penggunaan perkataan-perkataan inggeris. Jika masyarakat sudah terbiasa dengan penggunaan perkataan bahasa inggeris kemungkinan besar akan mempengaruhi bahasa mereka walaupun dalam situasi formal. Jadi, penggunaan bahasa Melayu baku perlu dimasyarakatkan, iaitu digunakan dalam perbualan seharian tanpa menggunakan perkataan-perkataan penjajah.

Fikir Keperluan Orang Lain

Saya tinggal dengan 9 orang kawan dalam  satu rumah. Seorang kawan ini mempunyai kereta, dan ada dua orang lagi memiliki motorsikal, 4 orang memiliki basikal dan selebihnya hanya mempunyai kaki untuk berjalan. Kereta dan basikal memerlukan minyak untuk membolehknnya bergerak di atas jalan raya. Beberapa orang rakan, selalu membawa rakan yang memiliki kereta ini untuk berjalan-jalan ke pasar sedangkan rakan ini tidak ada tujuan pun ke pekan. Rakan berkereta ini tidak dapat membawa rakan-rakannya pada hari ini kerana mempunyai banyak tugasan di samping tidak ada tujuan ke pekan. kawan-kawan ini pula cakap ‘ apa guna ada kereta, bosanlah di rumah’. Rakan berkereta cuma diam dan membiarkan rakan-rakannya berkata sedemikian. Mungkin dia mahu rakannya faham tentang keperluannya.

Ulasan: Saya bersetuju dengan rakan berkereta tersebut. Kita sememangnya perlu faham dengan keperluan orang lain. Jika kita ingin keperluan kita dipenuhi, biarlah kita memenuhi keperluan orang lain. Maksud saya di sini ialah jika kita ingin ke pekan, berilah tawaran untuk rakan berkereta tersebut bahawa kita boleh bantu untuk mengisi minyak keretanya. Kita tidak boleh tumpang percuma sahaja tanpa memikirkan keperluan orang lain walaupun dia rakan kita. Kerana dia rakan kitalah, kita patut faham hal keperluannya. Kalau dalam hal kecemasan, mungkin rakan berkenderaan itu perlu tolong untuk hantar ke  hospital tetapi kalau untuk bersuka-suka sahaja memangnya kita perlu menawarkan untuk membayar minyak keretanya. 

‘Nampok Banor Menipu’

Jika sebut sahaja ayat ‘nampok benor menipu’, rakan-rakan akan tertawa. Mereka yang pernah menonton filem tempatan yang bertajuk ‘hantu kak limah balik rumah’ mesti  perasan dengan cara bercakap atau dialek yang digunakan oleh pelakon-pelakon dalam filem tersebut. Filem ini semakin tersebar luas di Malaysia dan berjaya mempengaruhi individu-individu dari aspek cara percakapan pelakon-pelakon tersebut. Namun, saya boleh katakan 90% bahasa yang digunakan merupakan bahasa Melayu dialek Kelantan. Dialek yang digunakan dalam filem ini telah berjaya menarik minat masyarakat. Di sini bahasa Melayu baku semakin tercabar.


Ulasan: Penerbitan filem sedemikian tidak salah walaupun memuatkan skrip yang berunsurkan bahasa Melayu dalam dialek negeri. Namun, jika filem ini terus tumbuh dalam pasaran masyarakat tanpa mengira kepentingan bahasa Melayu baku, maka perfileman negara akan menjadi salah satu lagi cabaran perkembangan bahasa Melayu baku. Oleh itu, pengeluaran filem yang boleh menghalang perkembangan bahasa Melayu baku perlu dijaga. Kuasa perfileman merupakan bahan yang sangat kuat dalam mempengaruhi bahasa masyarakat. 

Istilah yang tak tepat

Ada banyak istilah yang tak tepat digunakan dalam media massa seperti berita, berita radio, akhbar cetak, dan akhbar atas-talian (online).
Antaranya seperti di bawah:-
1.   Bahana  – bukan bermaksud “bala” atau “bencana” seperti yang selalu digunakan oleh orang ramai.

     Maksud sebenar 'bahana' ialah  “bunyi kuat”, iaitu dalam bahasa Inggeris bermaksud 'volume'. Sebenarnya istilah “Bahana” ada beberapa maksud lagi, tetapi tidak ada satu pun yang bermaksud   “bala”  atau “bencana” seperti yang selalu digunakan oleh kebanyakan penutur. “Bahana” dalam Bahasa Inggeris ialah “volume”.

2.  Cumbu   – bukan bermaksud “cium” atau “kucup”. Ramai orang telah silap tentang maksud “cumbu”  atau    “bercumbu”.

        Maksud sebenar,  'Cumbu'  ialah seperti berikut;
        i. “pujukan” (kata-kata manis yg dituturkan sewaktu memujuk,  berkasih-kasihan dll.), dan
        ii. “lawak”

Kesalahan Ayat Pasif

Jika anda selalu menonton drama atau filem asing yang ada terjemahan(sari kata) Bahasa Malaysia, anda pasti pernah terbaca ayat yang salah tatabahasanya. Biasanya perkara ini berlaku dalam filem-filem cetak rompak. Perbincangan di sini bukanlah bercerita tentang filem cetak rompak atau bukan tetapi dari segi penggunaan bahasa terjemahan. Filem ini mempunyai terjemahan tulisan dalam bahasa Melayu tetapi lebih 70 peratus struktur ayat terjemahan yang digunakan tidak menepati ‘standard’ bahasa melayu di Malaysia. Ayat di bawah merupakan contoh ayat pasif salah yang diambil daripada sebuah filem Thailand, iaitu Ong Bak.

“Lelaki itu saya memukul.” 

Ulasan: Berdasarkan contoh ayat di atas, apakah yang salah?  Sebenarnya  yang salah ialah frasa “saya memukul”. Sepatutnya, ‘lelaki itu saya pukul’. Ayat pasif yang tidak ditulis dalam struktur ayat yang betul boleh mengelirukan pembaca atau penonton filem tersebut. Frasa ‘Lelaki itu’ ialah objek yang didepankan. Ayat ini jelas menunjukkan struktur ayat tersebut adalah pasif. Jika ayat ini disusun dalam struktur ayat aktif akan menjadi ayat berikut;

“Saya memukul lelaki itu.”


Baharu atau baru?

Sejak belakangan ini, banyak iklan di televisyen Malaysia menggunakan istilah ‘baharu’ dan dalam masa sama ada yang masih menggunakan ’baru‘. Semua ini disebabkan ada sesetengah pihak berpendapat bahawa istilah ‘baru’ ialah singkatan.

Jadi, jika ‘baru’ ialah singkatan kenapa istilah ‘saya’ tidak ditukar kepada ‘sahaya’? Hal ini kerana ‘saya’ sebenarnya berasal daripada ‘sahaya’. Balik kepada istilah ‘baru’, sebenarnya ia tidak ditunjukkan dalam Kamus Dewan sebagai satu kependekan(singkatan). Satu lagi sebab ialah kemungkinan Munsyi DBP berhasrat untuk membezakan ‘baru’ antara Adjektif(kata adjektif) dengan Kata Bantu Aspek(Masa). Ini tak harus menjadi sebab untuk menafikan istilah ‘baru’ dan menukarnya kepada ‘baharu’.

Ulasan: Istilah ‘baru’ telah lama digunakan secara baku di Malaysia, dan Indonesia bahkan sebelum kemerdekaan kedua-dua negara ini terutamanya dalam zaman kesusasteraan dan penulisan Riau-Johor lagi. Seharusnya penggunaan ‘baru’ tidak dibezakan atau dijadikan panjang berjela-jela kerana ia telah diterima sebagai ‘standard’ dalam Kamus Dewan sendiri.

Jika semua istilah dalam Bahasa Melayu dijadikan panjang berjela-jela ini hanya akan menyukarkan proses mengingat dan memberikan tanggapan kepada penutur asing bahawa Bahasa Melayu ialah bahasa yang panjang berjela-jela macam mi kari. Oleh itu, diharap Bahasa Melayu kekal sebagai bahasa yang mudah digunakan dalam menimba dan mengajar pelbagai bidang ilmu. Untuk kekal sebagai bahasa ilmu, semua istilah Bahasa Melayu perlu mudah diingati kerana yang panjang berjela-jela biasanya sukar diingati.

Bercakap Belakang

Hari ini saya terlalu penat dari kelas kuliah yang bertempat di Proton City, Tanjung Malim. Walau penat sekalipun saya sempat melayari internet dan membuka akaun laman ‘facebook’. Dalam beberapa minit saya tengok-tengok gambar orang, tiba-tiba ada mesej dari kawan dalam melalui ‘chat’. Berikut merupakan serba sedikit gambaran perbualan kami dan saya hanya banyak mendengar luahan rakan tersebut.

Rakan: hai, sibuk ka?
Saya: tak la, dari kelas tadi..napa?
Rakan: takde apa..
Saya: owh, apa khabar sekarang?
Rakan: ok juga Cuma sibuk sikit la dengan tugasan yang banyak. lepas tu, saya tekanan betul dengan sikap kawan  saya ni.
Saya: napa pula? Kawan ko yang satu kelas kita dulu tu ka?
Rakan: iya, ko tau ka saya sama kawan-kawan yang lain malas nak kawan dengan dia. Minta puji je banyak, lepas  tu ego lagi tak pandai faham perasaan orang lain. Dia sekarang tu semakin menjadi-jadi, pakai seksi-seksi masuk kelas dan gedik pula tu.

Ulasan: Laman 'facebook’ merupakan salah satu laman yang memudahkan orang ramai berkomunikasi secara maya. Namun, perkara yang saya bincangkan di sini ialah sikap kita yang suka bercakap belakang. Perkara ini harus dielakkan kerana perbuatan mengumpat atau mengata orang dari belakang merupakan tindakan yang kurang baik. Walaupun kita tidak menyukai seseorang, kita tidak sepatutnya mendedahkan keburukkan orang lain.  Tindakan ini boleh menjatuhkan maruah orang. Perbuatan berkata belakang lebih cenderung membawa kita untuk memfitnah orang lain.

Dialek

Masyarakat Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum yang memiliki bahasa dan diialeknya sendiri. Walaupun kita bercakap dalam bahasa Melayu mengikut piawai yang telah ditetapkan tetapi pengaruh dialek negeri tetap kelihatan apabila seseorang itu bercakap. Dalam pembentangan kumpulan pagi tadi, saya dapat kenalpasti negeri asal beberapa pembentang. Pelajar dari negeri Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu dan Sabah sangat sukar untuk bercakap dalam bahasa baku sepenuhnya. Walaupun mereka berusaha untuk membakukan bahasanya, namun pengaruh dialek negeri itu sukar disembunyikan. Dialek negeri ini memberi pengaruh kepada individu sama ada dalam pembentangan mahupun dalam urusan-urusan harian. Perkara ini juga telah berlaku kepada saya semasa menjalankan tugasan pengajaran makro di dalam bilik kuliah dan di sekolah. Saya telah dikritik oleh penilai kerana adanya dialek Sabah yang terselit dalam ujaran saya semasa mengajar mata pelajaran bahasa Melayu.

Ulasan: Bagi saya, sebagai pelajar yang berasal dari negeri Sabah, masalah dialek merupakan cabaran yang sangat sukar apatah lagi saya mengambil kursus pendidikan Bahasa Melayu. Dalam konteks ini, saya perlu menjaga bahasa dan ujaran semasa bercakap. Kesukaran untuk bercakap dalam bahasa baku ini tidak sepatutnya berlaku kerana saya merupakan bakal guru yang mengajar dalam mata pelajaran bahasa Melayu. Walaupun menghadapi kesukaran, saya perlu memperbaiki keupayaan berbahasa baku supaya boleh mengajar apabila berada di sekolah nanti. Peribadi seseorang sangat rapat dengan bahasa seseorang itu sehingga bahasa kebiasaan yang digunakannya tetap memberi pengaruh yang kuat walaupun kita bertutur dalam bahasa lain.

Wednesday, March 16, 2011

Bahasa Melayu Dan bidang kehakiman

Hari ini dalam kelas Sosiolinguistik, saya telah mendengar pembentangan mengenai status bahasa Melayu dalam bidang kehakiman. Jelas sekali bahasa Melayu dipinggirkan dalam bidang kehakiman walaupun bukan secara keseluruhannya. Berdasarkan  sejarah, bahasa Melayu digunakan secara rasmi dalam pentadbiran kecuali dalam bidang kehakiman. Namun, selepas 10 tahun semua bidang diwajibkan untuk menggunakan Bahasa Melayu termasuklah dalam bidang kehakiman. Persoalannya di sini, bahasa Inggeris masih digunapakai dalam bidang mahkamah malah melebihi kepentingan bahasa Melayu itu sendiri.

Ulasan: Saya boleh katakan perlembagaan yang telah dikanunkan masih tidak dilaksanakan. Titik tamatnya tempoh 10 tahun itu tidak begitu ketara. Tidak ada sebabnya bahasa Melayu tidak layak digunakan dalam bidang kehakiman. Perkara ini perlu diberi perhatian serius supaya bahasa Melayu dapat berkembang secara meluas disamping perlembagaan yang telah dikanunkan bukan hanya diatas kertas sahaja.

Bahasa Melayu atau Bahasa Indonesia?


Saya mempunyai seorang rakan yang suka mengeluarkan persoalan tentang isu-isu semasa sama ada dalam negara atau  dunia. Hari ini pula semasa dalam kelas Semantik, kami sempat bercakap mengenai Bahasa Melayu dan Bahasa Indonesia. Persoalan yang dikemukakan oleh rakan saya ialah masalah penyebaran Bahasa Melayu ke serata dunia berbanding Bahasa Indonesia yang dilihat lebih mudah diterima oleh orang asing. Di sini kami hanya mengeluarkan pendapat sendiri. Dalam entri ini, bukan mengenai bahasa yang kami gunakan dalam perbincangan tetapi isu yang kami utarakan tentang kedudukan bahasa melayu dalam 
masyarakat dan dunia. Perbualan kami saya tulis dalam dialog di bawah ini;

Rakan: awak tahu tak penutur bahasa Indonesia lebih banyak berbanding dengan penutur bahasa Melayu.

Saya: memanglah, sebab warganegara Indonesia lebih ramai berbanding warganegara Malaysia.

Rakan: itu satu, tapi maksud saya penutur bukan warga Indonesia. Maksudnya orang asing lebih suka belajar bahasa Indonesia berbanding belajar Bahasa Melayu.

Saya: saya rasa...Bahasa Indonesia lebih ‘fleksibel’ berbanding bahasa Melayu. Mereka boleh sahaja menggunakan perkataan-perkataan bahasa Inggeris dalam bahasa Indonesia. Contohnya, perkataan kredibility menjadi kredibilitas, aktivity menjadi aktivitas dan banyak lagi berbanding penterjemahan bahasa Inggeris kepada Bahasa Melayu.

Rakan: iya... tapi status bahasa ini juga bergantung kepada pemimpin yang bertanggungjawab ke atas kedudukannya bahasanya dalam masyarakat. Namun, Kadang kala kita sendiri hairan dan sedih apabila wakil rakyat dan pemimpin kita sendiri tidak menggunakan bahasa Melayu dalam pertuturan dengan orang asing.

Ulasan: bahasa Melayu akan terpinggir jika kita malu untuk menuturkan bahasa melayu. Lebih-lebih lagi pemimpin kita sendiri berlagak ingin bercakap dalam bahasa inggeris. Jika begitu, bahasa Melayu akan terus terpinggir. 

Bahasa SMS

Dalam kehidupan kita seharian, telefon bimbit merupakan satu benda yang penting khususnya apabila adanya urusan dengan rakan-rakan, syarikat, agensi dan seumpamanya. Sekarang perisian dalam telefon bimbit semakin canggih. Namun, aplikasi yang paling penting dalam telefon bimbit ialah mesej dan panggilan suara. Lazimnya, masyarakat menggunakan SMS atau sistem pesanan ringkas apabila membuat makluman dan temujanji dengan seseorang. Saya sendiri menggunakan ejaan singkatan apabila menghantar pesanan melalui aplikasi SMS telefon. Anda akan ditertawa jika menaip perkataan demi perkataan secara ejaan penuh tanpa memikirkan penerimanya. Persoalan di sini ialah bahasa yang digunakan semasa menaip mesej tersebut. Singkatan-singkatan perkataan dalam penulisan SMS telah mempengaruhi pelajar dalam penulisan esei di sekolah.

Ulasan: Saya berpendapat, kita tidak perlu salahkan penghantar SMS jika mengeja perkataan dalam bentuk singkatan. Saya berkata demikian, kerana singkatan perkataan dalam penulisan mesej melalui telefon dapat menjimatkan masa menulis, jimat ‘ kredit ‘, serta memudahkan pembaca itu sendiri. Dalam aspek kesalahan di sekolah, pelajar perlu mengeja penuh perkataan, jadi pelajar perlu tahu bagaimana mengeja sesuatu perkataan itu secara penuh. Dalam hal pentadbiran juga kita perlu menaip mesej dalam perkataan penuh. Oleh itu, sama ada kita perlu menulis perkataan secara singkatan atau penuh, bergantung kepada penerima yang kita beri mesej tersebut. 

Ultraman Lawan Tsunami

Akhbar merupakan bahan bacaan yang penting untuk mendapatkan maklumat mengenai isu-isu semasa. Namun, kadangkala akhbar tidak begitu sensitif dan teliti sebelum menerbitkan isu semasa serta gambar di dada akhbar. Baru baru ini berlaku kontroversi apabila satu akhbar tempatan mencetak dan menerbitkan satu gambar ilustrasi yang dilukis oleh seorang pelukis tempatan. Walau bagaimanapun syarikat akhbar tersebut telah meminta maaf secara terbuka berkenaan gambar ilustrasi itu.



Ulasan: Perkara ini tidak sepatutnya timbul dalam perbualan masyarakat kita apatah lagi dilakukan oleh syarikat penerbitan yang memaparkan hasil cetakkannya kepada orang ramai. Bagi saya, gambar tersebut begitu jelas untuk dinilai sama ada perlu dipaparkan atau tidak. Setiap agensi penyiaran dan penerbitan perlu prihatin terhadap isu ini supaya tidak berlaku lagi. Sebelum menyiarkan bahan terbitan, penyemakan dan penilaian perlu dilakukan supaya tidak menimbulkan kontroversi dan menyinggung perasaan orang lain atau negara lain secara umumnya. Perkara ini sudah tentu memperlihatkan budaya dan perasaan kita terhadap orang lain. Dalam konteks ini, saya bermaksud akhbar tempatan boleh dikatakan sebagai wakil kepada suara rakyat di negara itu sendiri. Secara tidak lansung, ilustrasi ultraman melarikan diri daripada ombak tsunami yang dipaparkan dalam akhbar tempatan telah menjatuhkan maruah negara Malaysia di mata dunia. 

Tuesday, March 15, 2011

Bahasa Melayu Di Malaysia

Pelbagai bukti yang menyatakan bahawa Bahasa melayu masih kukuh dan stabil di Malaysia. kenyataan ini sememangnya betul kerana adanya bukti dalam perlembagaan persekutuan, serta bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa pengantar dalam masyarakat di Malaysia. Namun, keruntuhan bahasa Melayu kian kelihatan apabila kekuatan bahasa Melayu dalam bidang ilmu mula dipertikaikan oleh beberapa pihak. Bukan sahaja dalam penyampaian bidang ilmu, kini bahasa melayu tiidak lagi menjamin masa depan masyarakat Malaysia dalam bidang kerjaya. Sebaliknya, bahasa inggeris diperkukuhkan semata-mata untuk mengejar kerjaya. Kenyataan Naib Canselor Universiti Malaya telah memanggil ilmuan Melayu untuk bersuara. Namun, Naib Cancelor UM tersebut menjelaskan bahawa kenyataan yang dibuat berdasarkan saranan dari Kementerian Pengajian Tinggi, iaitu menyarankan mahasiswa meningkatkan pengetahuan Bahasa Inggeris kerana boleh menjamin ‘kebolehpekerjaan’ graduan.

Ulasan: Berhubung dalam kes ini, saya berpendapat bahawa tahap atau status bahasa Melayu akan terus terpinggir disebabkan kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak tersebut. Walaupun tanpa niat merendahkan bahasa Melayu, namun secara tidak lansung masyarakat akan berlumba-lumba mempelajari bahasa inggeris melebihi kepentingan bahasa Melayu itu sendiri kerana faktor kerjaya. Pada masa kini, kerjaya merupakan aspek yang penting dalam jiwa masyarakat kerjaya menentukan keselesaan masa depan. Jadi, jika pemimpin kita mengatakan bahawa bahasa inggeris penting sebagai penentu ‘kebolehpekerjaan’, apakah anda fikir mengenai tindakan susulan masyarakat? Secara jelasnya, bahasa Melayu semakin terpinggir.

Adakah Guru Geografi Tidak Perlu Mengajar Bahasa?

Persoalan ini timbul dalam fikiran apabila rakan saya mengeluarkan kenyataan bahawa guru bahasa sahaja yang perlu mengajar bahasa Melayu di sekolah. Rakan yang mengambil major geografi ini menafikan bahawa guru geografi juga perlu mengajar aspek bahasa di sekolah. Walaupun perbualan kami dalam nada bergurau tetapi menjurus kepada pendapat-pendapat yang serius. Perbualan kami dapat digambarkan dalam dialog di bawah;

Rakan: nanti di sekolah ko mengajar bahasa melayu saja la ni?

Saya: iyalah, ko pun kena mengajar bahasa juga tu. Geografi kan ada penulisan esei juga.

Rakan: tidaklah, saya mengajar bentuk muka bumi, fenomena-fenomena alam saja. Bahasa tu biar pelajar sendiri yang belajar dengan guru bahasa Melayu. Kalau pelajar tak pandai menulis,membaca, kamulah yang salah.

Saya: ada betulnya ko cakap ni, tapi ko pun boleh mengajar mereka dalam aspek bahasa. Takkan ko x pandai betulkan susunan ayat yang dibuat oleh pelajar.

Ulasan: Bagi saya, semua guru yang berilmu tidak kira guru bahasa, guru sains, guru sejarah, guru geografi dan seumpamanya harus bertanggungjawab dalam pengajaran beberapa aspek bahasa. Tidak masuk akal jika guru sejarah membiarkan pelajar yang mengeja atau membaca dengan cara yang salah, jika guru tersebut tahu kesalahan pelajar. Bahasa merupakan suatu bidang yang sangat luas dan merangkumi subjek-subjek lain di sekolah, iaitu subjek lain juga di ajar dalam bahasa Melayu. Secara tidak lansung, guru lain juga perlu tahu serba sedikit tentang aspek morfologi dan sintaksis. 

Bahasa Ibunda

Di malaysia terdapat banyak jenis dialek. Setiap dialek ini dituturkan oleh bangsa-bangsa tertentu. Secara umumnya perbezaan dialek di Malaysia adalah mengikut negeri. Petang tadi, saya bersama rakan yang berasal dari Sarawak. Dia bercerita tentang rakannya yang tidak bercakap bahasa ibunda mereka walaupun berdepan dengan rakan sebangsa dan sebahasa. Alasan rakannya ini ialah ingin menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam komunikasi di Malaysia. Rakan saya ini merupakan keturunan kaum Iban di Sarawak. Dia sangat benci dengan tingkah laku rakan senegerinya yang sudah lupa asal usulnya.

            Bagi saya, kita tidak seharusnya melupakan bahasa ibunda kita walaupun berada di negeri orang apatah lagi bercakap dengan orang bangsa sendiri. Bahasa Melayu merupakan bahasa yang digunakan dalam komunikasi masyarakat Malaysia. Namun, kita yang mempunyai bahasa ibunda sendiri tidak patut melenyapkan bahasa sendiri. Kita patut bangga dengan bahasa ibunda kita sendiri di samping menghormati bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan di negara Malaysia. Walaupun saya mengambil kursus bahasa Melayu di IPTA tetapi bahasa ibunda harus diamalkan apabila berdepan dengan kaum sendiri. 

Monday, March 14, 2011

Mencarut Alam

Selepas tamat kuliah pukul 5.00 petang tadi, saya bersama kawan-kawan yang lain tidak keluar dewan kuliah kerana hujan lebat. Namun ada dua tida orang rakan yang dapat pulang kerana memiliki kenderaan sendiri. Oleh kerana menunggu lama hujan reda, ada seorang rakan ini kelihatan risau dan marah. Dia sebenarnya ada hal penting yang perlu diuruskan pada masa itu. Sementara menunggu hujan reda kami hanya bercerita dalam dewan kuliah tersebut. Seorang rakan ini pula tidak sabar-sabar hendak pulang. Keluarlah perkataan yang mencarut dari mulutnya;

lambat juga hujan ni reda, dah lah lebat pulak tu, ada urusan penting lepas ni...bodoh betullah hujan ni, tak mau tengok orang senang”...

Komen: bagi saya, marah sampai mencarut alam semula jadi tidak sepatutnya berlaku. Hujan adalah pemberian Tuhan dan sepatutnya kita bersyukur dengan adanya hujan. Bukan kita seorang sahaja yang hidup di dunia ini. Mungkin lebih ramai orang yang menginginkan hujan untuk keperluan tertentu. Menyebut perkataan ‘bodoh’ kepada hujan menggambarkan nilai peribadi penutur itu sendiri. Secara tidak lansung, penutur sudah mencarut kepada Pencipta Alam kerana hujan merupakan ciptaan-Nya. Kita perlu menjaga bahasa dan pertuturan kita supaya kerana bahasa menggambarkan keperibadian.

Perosak Bangsa

Tidak ada juga orang yang sanggup merendah-rendahkan bahasa jatinya sendiri. Itulah ungkapan yang saya dapat katakan apabila mendengar cerita tentang seorang artis Malaysia yang sanggup mengatakan bahawa dia malu dan berasa bodoh apabila bertutur atau bercakap dalam Bahasa Melayu. Seseorang yang mempunyai status sosial yang baik dalam masyarakat tidak patut berkata sedemikian kerana dia akan mempengaruhi minda masyarakat khususnya generasi muda dan remaja.

            Bagi saya, kerajaan atau pihak yang bertanggungjawab perlu tegas dalam isu ini. Kenyataan yang dikeluarkan oleh artis tersebut boleh dikatakan sebagai satu bentuk penghinaan kepada negara dan bangsa melayu itu sendiri. Tindakan, amaran dan hukuman adalah perkara yang diperlukan untuk menyedarkan warganegara yang bersikap sedemikian. Perkara ini tidak boleh dibiarkan begitu sahaja. Saya fikir artis yang berasa malu dan bodoh apabila bercakap dalam bahasa negaranya sendiri merupakan artis yang mempunyai tahap pemikiran moral dan budaya yang sangat rendah. Kenyataannya hanya memalukan dirinya sendiri. 

Pencemaran Bahasa

Bahasa english sememangnya sudah meracuni minda penutur bahasa melayu. Dalam kelas pukul 2.00 petang tadi saya terdengar beberapa orang rakan bercerita sebelum ketibaan pensyarah bertugas. Saya tidak bercakap tentang topik yang mereka bincangkan tetapi bahasa yang mereka gunakan. Perbualan mereka seperti di bawah;

Pelajar A: oya, besok petang kita ‘celebrate birthday’ c ‘Z’
Pelajar B: ya, boleh juga tu, kita buat kat mana?
Pelajar A: mm..kalau kita buat di KFC setuju?
Pelajar C: wah, ‘best’ tu, saya pun nak ikut.
Pelajar D: saya pun nak ‘join’ sama. Boleh ke?
Pelajar A: nah, ramai kita ni, mari lah ‘join’ sama. Bawa kawan yang lain tapi ada bayaran tau untuk kita beli kek.

Komen: mereka mencampurkan perkataan-perkataan bahasa english seperti ‘join’, ‘best’, ‘celebrate’, dan ‘birthday’ dalam pertuturan bahasa melayu. Gejala ini semakin berleluasa dalam kalangan masyarakat kita di Malaysia. Jika ini dibiarkan, sudah tentu bahasa Melayu jati akan terpinggir dan semakin dilupai. Biarlah kita bertutur sepenuhnya dalam satu-satu bahasa, bukannya mencampuradukkan dua bahasa menjadi satu. Kalau berbahasa Melayu, biarlah bertutur sepenuhnya dalam bahasa melayu, begitu juga jika kita ingin bertutur dalam bahasa english biarlah menuturkan bahasa english itu dengan betul. 

“Cuba Try”

Sejak dari kampung lagi saya sudah biasa dengar frasa ‘cuba try’ kerana selalu digunakan oleh masyarakat kita. Saya juga pernah mengungkapkan frasa ini sebelum memahami makna kata tersebut. Namun, saya sedih dan lucu apabila masih ramai yang menggunakan frasa tersebut. Saya fikir orang kampung saya sahaja yang mengungkap frasa yang salah itu, warga universiti pun masih ada yang menggunakan frasa tersebut. Saya terdengar perbualan dua individu semasa berbaris di mesin ATM. Perbualan tersebut seperti di bawah.

Individu A: nape ni kad aku tak dapat?
Individu B:  iye ke?ape yang rosak?mesin tu ke kad awk?
Individu A: enta...cuba ‘try’ kad awak pula.

Komen: kita boleh perhatikan frasa yang digunakan oleh individu tersebut, saya tidak pasti sama ada individu tersebut tahu makna ‘try’ di situ atau tidak. Dalam konteks ini, kata ‘try’ membawa makna yang sama dengan perkataan ‘cuba’ dalam bahasa melayu. Penggunaan frasa sedemikian perlu dielakkan oleh masyarakat kerana penggunaannya menggambarkan tahap ilmu seseorang di samping mencemar bahasa Melayu dengan campuran bahasa asing. Frasa ini sama dengan frasa lain yang selalu digunakan oleh masyrakat seperti ‘main game’, ‘piala monsun cup’. 

Saturday, March 12, 2011

“SHIT”

12 March 2011

Kalau kita ingin mendengar perkataan ‘shit’, lihat sahaja kawan kita bermain permainan video. Saya baru sahaja bermain permainan video dengan kawan saya. Saya biasanya bermain permainan ini untuk menenangkan fikiran selepas sibuk menyiapkan satu atau dua tugasan akademik. Saya membawa kawan ini bermain permainan video ‘PES’ atau perlawanan bola sepak. Kawan saya ini pun suka bermain permainan video. Tetapi yang melucukan saya ialah cara dia bermain, iaitu tingkah lakunya semasa bermain permainan ini. Dia sangat bising, teriak-teriak dan adakalanya mengeluarkan kata-kata yang kurang ‘sedap’ didengar, perkataan ‘shit’. Kalau dia cuba menendang bola ke pintu gol tetapi bola tersasar mesti perkataan ‘shit’ akan keluar dari mulutnya. Kata-katanya itu seperti dibawah;

“adoiii...Shit!!!...tak masuk lagi..”

            Walaupun suasana meriah dengan adanya emosi bermain permainan tersebut tetapi kadang-kadang perkataan yang dia keluarkan kurang enak didengar. Bagi saya yang sudah biasa dengan caranya, tidak juga rasa marah. Tetapi perkataan ‘shit’ membawa maksud yang kurang sopan dan jika perkataan ini mmenjadi kebiasaan dalam masyarakat, kemungkinan besar perkara ini menjadi racun bahasa sama juga situasinya dengan perkataan  ‘cantik giler’, ‘ hebat sial’ dan seumpamanya. Bahasa mempunyai nilai moral yang tinggi dan perlu dijaga kerana bahasa yang digunakan oleh penutur menggambarkan peribadi ppenutur itu sendiri.

Nada Suara Perlu Dijaga

12 March 2011


Awal pagi ini, kira-kira dalam jam enam, tidur saya terganggu apabila mendengar nada suara orang yang tinggi. Saya masih tutup mata walaupun telinga saya mendengar suara tersebut semakin dekat. Tiba-tiba orang ‘empunya’ suara mengetuk pintu bilik. Rupa-rupanya orang ini kawan kepada kawan sebilik saya. perkara yang tidak menyenangkan saya ialah orang itu masih menggunakan nada suara yang kuat walaupun melihat kami yang sedang tidur. Kami ada tiga orang dalam satu bilik. Dia bercakap dengan kawan saya begitu lama tanpa menghiraukan perasaan orang yang sedang tidur. Lazimnya pada hari ahad saya mesti mempunyai tidur dan rehat yang cukup sebagai ganti kepada hari-hari sebelumnya yang penuh dengan kesibukan. Tambahan pula, perkara yang mereka bualkan bukanlah perkara yang penting, kalau perkara penting mungkin kita boleh faham.

            Jadi bagi saya, kalau kita bercakap perlulah mengambil kira keadaan sekeliling dan cuba memahami perasaan orang. Apatah lagi, tempat kita bercakap bukanlah tempat atau rumah kita sendiri. Tidak salah juga kita datang awal subuh di rumah orang jika itu sahaja masa yang ada tetapi haruslah menjaga kata-kata dan nada suara supaya tidak menganggu atau meyusahkan orang lain.

Bercakap Biar Berpada-pada

12 march 2011
Pada petang tadi kami telah membuat satu pelawanan persahabatan bola sepak antara pasukan ‘A’ dan pasukan ‘B’. Perlawanan ditentukan pada pukul 5 petang mengikut persetujuan kedua-dua pasukan. Namun, pasukan masa ketibaan pasukan B tidak seperti perjanjian yang telah ditetapkan. Ada beberapa pemain pasukan A berbual-bual sementara menunggu pemain B masuk padang. Topik perbualan mereka adalah mengenai disiplin dan sikap pemain dari pasukan B tersebut. Perkara yang berlaku di sini ialah pemain-pemain tersebut bercakap menggunakan kata-kata yang kurang sopan. Walaupun mereka bergurau dalam mengumpat, kata-kata yang dikeluarkan sememangnya boleh menyinggung perasaan orang lain.

Pemain X: apa ni polis tak ade disiplin.
Pemain Y: tu la, lebih dorg cakap tak dapat datang.
Pemain Z: banggang ba tu, pandai ‘tembak’ pompuan ja.
Pemain X, Y, Z: hahahhahahahaa......

Komen: Perbualan pemain-pemain A sungguh tidak sopan. Tambahan pula terdapat pemain pasukan B yang mendengar perbualan mereka. Pemain dari pasukan A tersebut tidak menghiraukan pemain B yang mendengar perbualan mereka, seperti sengaja supaya pemain dari pasukan B itu dengar perbualan mereka. Bagi saya, pemain pasukan A tidak sepatutnya berbual dan mengata orang secara berdepan kerana perbuatan itu hanya menyakiti hati orang lain. Bukannya susah untuk bertanya perkara yang membuatkan pasukan B gagal turun pada masa yang dipersetujui. Lagipun, perlawanan  anatra pasukan A dan pasukan B hanyalah perlawanan persahabatan, segala kegagalan seharusnya dapat dimaafkan.

Friday, March 11, 2011

Ganggu tidur

11 march 2011

Waktu petang yang sejuk ditambah dengan hujan renyai-renyai membuatkan mata kita ingin berehat. Ada seorang kawan saya ini sedang tidur dengan lenanya. Dia sudah lama tidur dari pukul 4 2 petang tadi lagi. Saya gelar kawan yang tengah tidur ini dengan X. Si X ini tidur di bilik sebelah. Pada pukul Sewaktu dia lena tidur, kawan sebilik dengan saya, iaitu saya gelar dengan nama Y ingin membawa si X pergi berjoging di satu kawasan perumahan kerana hujan sudah lama berhenti. Tetapi si X  masih dalam mimpi yang indah. Oleh sebab si Y segan berjoging keseorangan, dia ketuk-ketuk bilik si X tetapi si X tidak menyahut. Si Y tidak putus asa mengetuk dan mengatakan seperti ayat di bawah;

“wei, buka pintu, bangun...mari kita pegi joging”
Tiba-tiba si X menyahut;
“malaslah...mengantuk. ko pegi la”
Si Y: lama sudah ko tidur, kena gaut (penyakit lutut) ko nanti.
Si X: pegi la, saya nak tidur. Jangan ganggu (nada mara).
Si Y: bodoh...perut besar.

Komen: kata-kata yang dikeluarkan dalam situasi di atas sememangnya tidak sepatutnya berlaku. Si X dan si Y tidak perlu mengeluarkan kata-kata yang kurang sopan. Si Y perlu faham keadaan, perlu fikir perasaan si X yang sememangnya mengantuk. Jika dinilai pun, si Y ada hak untuk tidak turun berjoging kerana bergantung kepada keinginannya. Si Y tidak perlu memaksa dengan mengeluarkan kata-kata yang menyakitkan hati kawan sendiri walau rapat mana sekalipun.



Thursday, March 10, 2011

Bercakap Mengikut Status Sosial Seseorang

10 march 20011

Sebelum tidur saya selalunya melayari internet, laman sesawang ‘facebook’. Semalam saya sempat melayari internet pada pukul 1.15 pagi kerana lewat dari kolej kediaman Harun Aminurrashid. Setibanya di rumah saya duduk dan terus melayari internet. Setelah membuka laman ‘facebook’ saya lihat pelbagai ‘status’ kawan-kawan dan termasuklah seorang pensyarah saya. Pensyarah tersebut meletakkan ‘status’ begini;

 “hari ini saya sungguh penat, satu hari tak makan. Sibuk sangat”.

Selepas itu, saya baca dibawahnya banyak yang memberi komen ‘status’ pensyarah tersebut. Ada yang simpati ada pula yang bergurau mahu membawanya keluar makan.  Tetapi ada pula individu yang memberi komen seperti tidak ada perasaan. Individu itu juga seperti saya, iaitu seorang pelajar dan seorang pelajar. Individu ini memberi komen seperti di bawah;

“aik ini pensyarah ka pelajar? macam kekeringan ja Sensai ni, banyak kekalutan”

Terus, ada seorang lagi pelajar ini memberi komen khusus untuk individu tersebut, pelajar perempuan ini memberi komen berikut;
“ei ****(nama individu dalam facebook), nape ayat awak tu semacam kurang ajar sangat? Tak baca ka Sensei kata sibuk? Lagi satu bukan ‘Sensai’ tapi ‘Sensei’.

* “Sensei” merupakan nama panggilan pensyarah tersebut dalam kelas kursus Bahasa Jepun.

Komen: Dalam kehidupan kita seharian, kita berdepan dengan manusia yang pelbagai status sosial. Kita seharusnya melihat status seseorang sebelum bercakap. Bercakap biarlah menghormati status seseorang. Setiap gurauan tidak salah tetapi harus berhati-hati supaya tidak menyinggung perasaan orang lain. Dalam situasi tersebut saya sangat bersetuju dengan pelajar perempuan tersebut kerana  berani menegur individu tersebut.