Sunday, January 23, 2011

Bahasa komunikasi?

Pagi-pagi lagi saya sudah melayari internet selepas bangun dari tidur yang lena. Saya memasuki laman web yang dikenali sebagai 'facebook', iaitu salah satu laman web untuk berkomunikasi secara dalam talian atau lebih ringkasnya laman web sosial. Sedang saya membaca status kawan-kawan, kedengaran bunyi 'tek' dari laptop saya. Saya tahu bunyi itu merupakan isyarat adanya mesej melalui talian dalam laman 'facebook' saya. Saya membukanya dan membaca mesej tersebut daripada kawan lama saya,'Helo, geng gud morning, so how are u?'. Saya bukan pertama kali mendapat mesej yang ditulis dalam bahasa asing dan saya pun membalasnya dalam bahasa yang digunakan oleh kawan tersebut. 

        Kadang-kadang saya terfikir 'kenapakah orang lebih suka menggunakan bahasa asing berbanding bahasa sendiri?'. Mungkin semua orang ada penjelasan atau dalilnya sendiri terhadap persoalan ini. Bagi saya, perkara ini lahir daripada sejauh mana sikap kita berbangga dan kagum terhadap bahasa sendiri atau bahasa asing. Penggunaan bahasa english atau bahasa asing yang lain dalam komunikasi bukan formal mungkin tidak menjadi satu masalah, malah lebih baik jika kita pandai berkomunikasi lebih dari lima jenis bahasa. Namun, perkara yang menyedihkan ialah kita hanya pandai bercakap dalam bahasa asing tetapi tidak dapat menguasai bahasa sendiri. 

           Walaupun saya mengambil ijazah sarjana muda  Pendidikan Bahasa Melayu tetapi saya tidak akan lupa bahasa bangsa saya sendiri, iaitu bahasa Dusun. Kita seharusnya berbangga dengan bahasa ibunda kita sendiri dan begitu juga saya berbangga dapat berkomunikasi dalam bahasa kebangsaan, iaitu bahasa rasmi negara yang sepatutnya menjadi satu bahasa yang boleh digunakan di Malaysia sama ada dalam pentadbiran, pendidikan, undang-undang, perubatan, dan sewaktu dengannya. 

            Bahasa asing kita hanya gunakan untuk mencari ilmu daripada bangsa lain dan kita sebarkan ilmu itu dalam negara kita dalam bahasa Melayu atau Bahasa Kebangsaan. Kita tidak sepatutnya berbahasa asing dengan orang kita sendiri. Namun fikiran orang kita sekarang sudah diracuni, sehingga apabila orang bercakap dalam bahasa English, Cina, Jepun, atau seumpamanya akan dianggap mempunyai ilmu yang tinggi dan dikagumi walaupun orang tersebut tidak tahu bercakap dalam bahasanya sendiri. Bagi saya, orang tersebut merupakan orang yang paling malang kerana berbangga dengan bahasa asing tetapi tidak dapat berkomunikasi dalam bahasa negaranya sendiri.

No comments:

Post a Comment