Tuesday, March 15, 2011

Bahasa Melayu Di Malaysia

Pelbagai bukti yang menyatakan bahawa Bahasa melayu masih kukuh dan stabil di Malaysia. kenyataan ini sememangnya betul kerana adanya bukti dalam perlembagaan persekutuan, serta bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa pengantar dalam masyarakat di Malaysia. Namun, keruntuhan bahasa Melayu kian kelihatan apabila kekuatan bahasa Melayu dalam bidang ilmu mula dipertikaikan oleh beberapa pihak. Bukan sahaja dalam penyampaian bidang ilmu, kini bahasa melayu tiidak lagi menjamin masa depan masyarakat Malaysia dalam bidang kerjaya. Sebaliknya, bahasa inggeris diperkukuhkan semata-mata untuk mengejar kerjaya. Kenyataan Naib Canselor Universiti Malaya telah memanggil ilmuan Melayu untuk bersuara. Namun, Naib Cancelor UM tersebut menjelaskan bahawa kenyataan yang dibuat berdasarkan saranan dari Kementerian Pengajian Tinggi, iaitu menyarankan mahasiswa meningkatkan pengetahuan Bahasa Inggeris kerana boleh menjamin ‘kebolehpekerjaan’ graduan.

Ulasan: Berhubung dalam kes ini, saya berpendapat bahawa tahap atau status bahasa Melayu akan terus terpinggir disebabkan kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak tersebut. Walaupun tanpa niat merendahkan bahasa Melayu, namun secara tidak lansung masyarakat akan berlumba-lumba mempelajari bahasa inggeris melebihi kepentingan bahasa Melayu itu sendiri kerana faktor kerjaya. Pada masa kini, kerjaya merupakan aspek yang penting dalam jiwa masyarakat kerjaya menentukan keselesaan masa depan. Jadi, jika pemimpin kita mengatakan bahawa bahasa inggeris penting sebagai penentu ‘kebolehpekerjaan’, apakah anda fikir mengenai tindakan susulan masyarakat? Secara jelasnya, bahasa Melayu semakin terpinggir.

Adakah Guru Geografi Tidak Perlu Mengajar Bahasa?

Persoalan ini timbul dalam fikiran apabila rakan saya mengeluarkan kenyataan bahawa guru bahasa sahaja yang perlu mengajar bahasa Melayu di sekolah. Rakan yang mengambil major geografi ini menafikan bahawa guru geografi juga perlu mengajar aspek bahasa di sekolah. Walaupun perbualan kami dalam nada bergurau tetapi menjurus kepada pendapat-pendapat yang serius. Perbualan kami dapat digambarkan dalam dialog di bawah;

Rakan: nanti di sekolah ko mengajar bahasa melayu saja la ni?

Saya: iyalah, ko pun kena mengajar bahasa juga tu. Geografi kan ada penulisan esei juga.

Rakan: tidaklah, saya mengajar bentuk muka bumi, fenomena-fenomena alam saja. Bahasa tu biar pelajar sendiri yang belajar dengan guru bahasa Melayu. Kalau pelajar tak pandai menulis,membaca, kamulah yang salah.

Saya: ada betulnya ko cakap ni, tapi ko pun boleh mengajar mereka dalam aspek bahasa. Takkan ko x pandai betulkan susunan ayat yang dibuat oleh pelajar.

Ulasan: Bagi saya, semua guru yang berilmu tidak kira guru bahasa, guru sains, guru sejarah, guru geografi dan seumpamanya harus bertanggungjawab dalam pengajaran beberapa aspek bahasa. Tidak masuk akal jika guru sejarah membiarkan pelajar yang mengeja atau membaca dengan cara yang salah, jika guru tersebut tahu kesalahan pelajar. Bahasa merupakan suatu bidang yang sangat luas dan merangkumi subjek-subjek lain di sekolah, iaitu subjek lain juga di ajar dalam bahasa Melayu. Secara tidak lansung, guru lain juga perlu tahu serba sedikit tentang aspek morfologi dan sintaksis. 

Bahasa Ibunda

Di malaysia terdapat banyak jenis dialek. Setiap dialek ini dituturkan oleh bangsa-bangsa tertentu. Secara umumnya perbezaan dialek di Malaysia adalah mengikut negeri. Petang tadi, saya bersama rakan yang berasal dari Sarawak. Dia bercerita tentang rakannya yang tidak bercakap bahasa ibunda mereka walaupun berdepan dengan rakan sebangsa dan sebahasa. Alasan rakannya ini ialah ingin menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam komunikasi di Malaysia. Rakan saya ini merupakan keturunan kaum Iban di Sarawak. Dia sangat benci dengan tingkah laku rakan senegerinya yang sudah lupa asal usulnya.

            Bagi saya, kita tidak seharusnya melupakan bahasa ibunda kita walaupun berada di negeri orang apatah lagi bercakap dengan orang bangsa sendiri. Bahasa Melayu merupakan bahasa yang digunakan dalam komunikasi masyarakat Malaysia. Namun, kita yang mempunyai bahasa ibunda sendiri tidak patut melenyapkan bahasa sendiri. Kita patut bangga dengan bahasa ibunda kita sendiri di samping menghormati bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan di negara Malaysia. Walaupun saya mengambil kursus bahasa Melayu di IPTA tetapi bahasa ibunda harus diamalkan apabila berdepan dengan kaum sendiri. 

Monday, March 14, 2011

Mencarut Alam

Selepas tamat kuliah pukul 5.00 petang tadi, saya bersama kawan-kawan yang lain tidak keluar dewan kuliah kerana hujan lebat. Namun ada dua tida orang rakan yang dapat pulang kerana memiliki kenderaan sendiri. Oleh kerana menunggu lama hujan reda, ada seorang rakan ini kelihatan risau dan marah. Dia sebenarnya ada hal penting yang perlu diuruskan pada masa itu. Sementara menunggu hujan reda kami hanya bercerita dalam dewan kuliah tersebut. Seorang rakan ini pula tidak sabar-sabar hendak pulang. Keluarlah perkataan yang mencarut dari mulutnya;

“lambat juga hujan ni reda, dah lah lebat pulak tu, ada urusan penting lepas ni...bodoh betullah hujan ni, tak mau tengok orang senang”...

Komen: bagi saya, marah sampai mencarut alam semula jadi tidak sepatutnya berlaku. Hujan adalah pemberian Tuhan dan sepatutnya kita bersyukur dengan adanya hujan. Bukan kita seorang sahaja yang hidup di dunia ini. Mungkin lebih ramai orang yang menginginkan hujan untuk keperluan tertentu. Menyebut perkataan ‘bodoh’ kepada hujan menggambarkan nilai peribadi penutur itu sendiri. Secara tidak lansung, penutur sudah mencarut kepada Pencipta Alam kerana hujan merupakan ciptaan-Nya. Kita perlu menjaga bahasa dan pertuturan kita supaya kerana bahasa menggambarkan keperibadian.

Perosak Bangsa

Tidak ada juga orang yang sanggup merendah-rendahkan bahasa jatinya sendiri. Itulah ungkapan yang saya dapat katakan apabila mendengar cerita tentang seorang artis Malaysia yang sanggup mengatakan bahawa dia malu dan berasa bodoh apabila bertutur atau bercakap dalam Bahasa Melayu. Seseorang yang mempunyai status sosial yang baik dalam masyarakat tidak patut berkata sedemikian kerana dia akan mempengaruhi minda masyarakat khususnya generasi muda dan remaja.

            Bagi saya, kerajaan atau pihak yang bertanggungjawab perlu tegas dalam isu ini. Kenyataan yang dikeluarkan oleh artis tersebut boleh dikatakan sebagai satu bentuk penghinaan kepada negara dan bangsa melayu itu sendiri. Tindakan, amaran dan hukuman adalah perkara yang diperlukan untuk menyedarkan warganegara yang bersikap sedemikian. Perkara ini tidak boleh dibiarkan begitu sahaja. Saya fikir artis yang berasa malu dan bodoh apabila bercakap dalam bahasa negaranya sendiri merupakan artis yang mempunyai tahap pemikiran moral dan budaya yang sangat rendah. Kenyataannya hanya memalukan dirinya sendiri. 

Pencemaran Bahasa

Bahasa english sememangnya sudah meracuni minda penutur bahasa melayu. Dalam kelas pukul 2.00 petang tadi saya terdengar beberapa orang rakan bercerita sebelum ketibaan pensyarah bertugas. Saya tidak bercakap tentang topik yang mereka bincangkan tetapi bahasa yang mereka gunakan. Perbualan mereka seperti di bawah;

Pelajar A: oya, besok petang kita ‘celebrate birthday’ c ‘Z’
Pelajar B: ya, boleh juga tu, kita buat kat mana?
Pelajar A: mm..kalau kita buat di KFC setuju?
Pelajar C: wah, ‘best’ tu, saya pun nak ikut.
Pelajar D: saya pun nak ‘join’ sama. Boleh ke?
Pelajar A: nah, ramai kita ni, mari lah ‘join’ sama. Bawa kawan yang lain tapi ada bayaran tau untuk kita beli kek.

Komen: mereka mencampurkan perkataan-perkataan bahasa english seperti ‘join’, ‘best’, ‘celebrate’, dan ‘birthday’ dalam pertuturan bahasa melayu. Gejala ini semakin berleluasa dalam kalangan masyarakat kita di Malaysia. Jika ini dibiarkan, sudah tentu bahasa Melayu jati akan terpinggir dan semakin dilupai. Biarlah kita bertutur sepenuhnya dalam satu-satu bahasa, bukannya mencampuradukkan dua bahasa menjadi satu. Kalau berbahasa Melayu, biarlah bertutur sepenuhnya dalam bahasa melayu, begitu juga jika kita ingin bertutur dalam bahasa english biarlah menuturkan bahasa english itu dengan betul. 

“Cuba Try”

Sejak dari kampung lagi saya sudah biasa dengar frasa ‘cuba try’ kerana selalu digunakan oleh masyarakat kita. Saya juga pernah mengungkapkan frasa ini sebelum memahami makna kata tersebut. Namun, saya sedih dan lucu apabila masih ramai yang menggunakan frasa tersebut. Saya fikir orang kampung saya sahaja yang mengungkap frasa yang salah itu, warga universiti pun masih ada yang menggunakan frasa tersebut. Saya terdengar perbualan dua individu semasa berbaris di mesin ATM. Perbualan tersebut seperti di bawah.

Individu A: nape ni kad aku tak dapat?
Individu B:  iye ke?ape yang rosak?mesin tu ke kad awk?
Individu A: enta...cuba ‘try’ kad awak pula.

Komen: kita boleh perhatikan frasa yang digunakan oleh individu tersebut, saya tidak pasti sama ada individu tersebut tahu makna ‘try’ di situ atau tidak. Dalam konteks ini, kata ‘try’ membawa makna yang sama dengan perkataan ‘cuba’ dalam bahasa melayu. Penggunaan frasa sedemikian perlu dielakkan oleh masyarakat kerana penggunaannya menggambarkan tahap ilmu seseorang di samping mencemar bahasa Melayu dengan campuran bahasa asing. Frasa ini sama dengan frasa lain yang selalu digunakan oleh masyrakat seperti ‘main game’, ‘piala monsun cup’.